Tuesday, April 13, 2010

Tangan Yang Di Atas Lebih Baik Drp Tangan Yang Di Bawah

Pada malam tadi, saya bersama isteri dan anak berkelapangan untuk menghadiri kuliah mingguan yang disampaikan oleh Ust. Dr. Arif Soleh, seorang pensyarah di UTM, Skudai. Kuliah mingguan tersebut diadakan di Jalan Batai 5, Tmn. Sri Pulai atas jemputan Sdr. Zul dari Tmn. Teratai. Beliau secara mingguan akan mengingatkan saya tentang berlangsungnya kuliah itu.

Kuliah pada malam tadi telah memasuki 'buku' baru iaitu membincangkan tajuk 'Sadaqah'. Buku sebelum ini yang berkisar tentang Doa-doa yang disukai Rasulullah s.a.w telah tamat dibincangkan. Dalam kuliah tersebut, Ust Dr. Arif Saleh (UDAS) membincangkan bagaimana kita dituntut untuk bersedekah pada setiap hari.

"Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka" (Al-Baqarah:2-3)

Sedekah boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Menurut hadith, Rasulullah s.a.w bersabda:

“Setiap sendi manusia perlu bersedekah, setiap hari matahari terbit ada orang mengadili dua orang adalah sedekah. Membantu orang dengan mengangkat barang ke atas binatang tunggangan adalah sedekah. Satu kalimah yang baik adalah sedekah. Setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah dan membuang sesuatu berbahaya di jalanan adalah sedekah. (Hadis Riwayat Bukhari)

Kadangkala kita rasa khuatir dan takut untuk bersedekah kerana takut ia akan mengurangkan harta kita. Sedangkan Rasulullah s.a.w telah memberi jaminan tentang perkara ini.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud : "Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya." (Hadis Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Dalam perbincangan pada malam tadi juga dipesan agar kita tidak mengherdik orang yang meminta-minta walaupun kita tidak mahu memberi.

"Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik" (Surah Ad-Dhuha:10)

Justeru, kita amat digalakkan untuk bersedekah terutamanya kepada sanak-saudara kita yang miskin. InsyaALlah, harta kita akan bertambah dengan bersedekah dan kita akan mendapat pahala dan keampunan daripada Allah.

No comments:

Post a Comment