Saturday, February 6, 2010

Budaya Hadir Ke Majlis Ilmu

Majlis Ilmu
Majlis ilmu adalah sebuah majlis di mana ilmu disampaikan dan dipelajari oleh sekelompok manusia samada ramai ataupun sedikit. Biasanya ia diadakan di masjid, surau, bilik kuliah, madrasah atau di rumah-rumah. Kita lebih sinonim jika majlis ilmu itu dikatakan satu majlis yang di dalamnya ada menyebut nama Allah, mengingati Allah atau majlis yang akhirnya kita mendapat ilmu untuk mendekatkan diri kepada Allah.
Majlis Ilmu di UTM
Saya baru sahaja menghadiri satu majlis ilmu di Masjid UTM yang syarahannya disampaikan oleh Ust. Hj. Zahazan Mohamad, salah seorang penceramah terkenal di negara kita. Beliau adalah seorang pensyarah di UIA dan selalu memberikan pengisian di TV3, radio IKIM.fm, menulis di majalah Solusi dan menulis pelbagai jenis buku. Majlis beliau pada malam ini dihadiri oleh ramai mahasiswa/i dan para pensyarah universiti. Tidak ketinggalan juga penduduk sekitar Tmn. Universiti, Tmn. Sri Pulai dan lain-lain mengambil kesempatan untuk masuk ke UTM bagi mendengar ceramah beliau. Suasana ini sungguh asing bagi kita dan sangat jarang kita lihat. Saya dapat rasakan yang masyarakat sangat dahagakan ilmu pengetahuan khususnya dalam bidang agama yang rata-ratanya sangat sukar diperolehi melalui kaca televisyen atau akhbar harian.
Majlis Ilmu Hanya Untuk Orang Tua?
Majlis seperti ini amat asing bagi orang muda. Kebanyakan majlis seperti ini dihadiri orang-orang tua yang telah 'berusia emas' dan pencen (56 tahun) yang tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan kecuali ulang-alik ke masjid pada waktu malam dan menghabiskan masa di kedai kopi pada waktu siang bersama teman-teman. Kita lihat sahaja di kampung-kampung, felda-felda hatta di bandar-bandar, majlis seperti ini yang biasanya dibuat di masjid hanya akan dihadiri oleh segelintir penduduk. Orang-orang muda lebih suka hadir ke pusat bowling, karaoke, menonton wayang, menonton perlawanan bola sepak dan bersembang kosong.

Kelebihan Majlis Ilmu
Majlis ilmu sangat memberi impak yang besar kepada orang yang menghadirinya. Dikatakan bahawa para malaikat berkumpul melebarkan sayapnya dan meminta ampun kepada Allah untuk mereka yang hadir walaupun duduk sebentar. Dalam majlis ini jugalah diturunkan rahmat dan keampunan, ditenangkan hati pendengarnya, dan sudah tentu ilmu yang diperolehi amat berguna untuk kehidupan seharian. Dikatakan juga majlis ilmu ini adalah taman dari taman-taman Syurga.

Majlis Ilmu Dalam Keluarga Kita
Dalam keluarga kita sendiri, adakah kita peka untuk melakukan majlis ilmu seperti ini. Tak perlu untuk ber'title' ustaz atau ustazah, atau menjemput penceramah luar, majlis ilmu boleh kita lakukan dengan membaca SATU firman Allah atau hadith Nabi s.a.w selepas solat berjamaah. Si ayah membaca, ibu dan anak dengar. Atau jika pulang ke kampung, majlis ilmu seperti ini boleh dilakukan sewaktu berkumpul beramai-ramai. Sudah tentu manfaatnya besar.

Pesanan Untuk Anak Muda
Justeru, anak-anak muda harus mengambil peluang dalam hidup ini untuk menambah ilmu agama. Usah tunggu usia tua. Ambillah peluang waktu lapang untuk menghadiri ceramah, menonton majlis ilmu di TV, hadiri kuliah di surau atau masjid dan menelaah majalah-majalah dan buku yang bermanfaat, di samping melayari laman web soal jawab agama seperti http://www.zaharuddin.net/ (milik Ust Zaharuddin Abdul Rahman) dan lain-lain. Para ayah, didiklah anak-anak cintakan majlis ilmu. Bawa mereka ke masjid untuk duduk dalam majlis ilmu. Sebelum tidur, ceritakan kisah-kisah para sahabat, para pejuang Islam dan alim ulama' sebagai teladan kepada kita dan anak-anak.

No comments:

Post a Comment