Friday, February 5, 2010

Tazkirah Jumaat: Hadith Ke-16: Kitab Hadith 40 Imam Nawawi

Dari Abu Hurairah r.a, bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Nabi s.a.w: "Berilah wasiat kepadaku. Sahut Nabi: Janganlah engkau marah. Kemudian ia mengulangi beberapa kali. Sabdanya: Janganlah engkau marah.
-Diriwayatkan oleh Bukhari.

Syarahan dan Nilainya:
Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dari Abu Hurairah dan mempunyai nilai akhlak yang utama, iaitu melarang dari kemarahan. Kerana kemarahan bukan menambahkan kebaikan, tetapi memburukkan lagi keadaan.

Maksud Jangan Marah dan Yang Bertalian Dengannya:
Adapun maksud perkataan 'jangan marah' yang dikatakan kepada lelaki tersebut ialah jangan turut nafsu kemarahan itu, dan bukanlah maksudnya melenyapkan sama sekali nafsu itu. Kerana kemarahan adalah salah satu tabiat manusia yang tidak mungkin dihapuskan.

Jadi Rasulullah bermaksud larangan kepada perkara menimbulkan kemarahan itu dan baginda bersabda pada hadis yang lain:" Jauhilah kemarahan, kerana itu ialah bara api ynag bernyala-nyala dalam hati anak Adam. Cubalah lihat bilah salah seorang kamu dalam kemarahan, kedua matanya merah, urat lehernya kelihatan timbul. Apabilah salah seorang kamu berasa marah, maka hendaklah ia berbaring atau duduk di atas bumi.

Dan pernah juga Rasulullah menerangkan:" Bahawa kemarahan itu dari syaitan. Dan sesungguhnya syaitan itu dijadikan dari api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila marah oleh seorang kamu maka hendaklah ia berwuduk".

Amru Al-Ash berkata:" Saya bertanya kepada Rasulullah bagaimana cara supaya saya tidak dimurkai Allah? Jawab Rasulullah: Jangan marah."

Imam Ghazali berkata:"Kemarahan manusia bermacam-macam. Setengahnya lekas marah dan lekas hilang. setengahnya lambat marah, lambat pula redanya. Setengahnya lambat marah dan lekas pula hilangnya. Yang akhir inilah yang terpuji."

Bolehkah kita marah?
Rasulullah pernah marah. Kemarahan kerana ada perkara yang tidak disukai yang menyalahi dari yang benar sebagaimana yang diajarkan agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama.

Contohnya, ada sebuah rombongan orang yang musafir bersama Rasulullah. dalam rombongan itu terdapat seorang perempuan Ansar yang menaiki untanya. Malangnya untanya itu amat tidak menyenangkan hatinya kerana kemalasannya. Lalu dia terus marah dan melaknatnya. Sedang Rasulullah mendengar apa yang dikatakan tadi, seraya menyuruh supaya diambil barang kepunyaanya dan dibiarkanlah dia di situ.

Begitu juga ibubapa dibenarkan untuk marah jika anak-anak tidak melakukan suruhan Allah dan melanggar larangan-Nya.

Itulah wasiat dan ajaran Rasulullah yang tercinta yang harus kita ikut. Malu sekiranya kita meminta syafaatnya di Akhirat nanti tetapi di dunia kita tidak mengikut suruhannya. Dengan ajaran baginda, semua urusan di dunia ini dapat diselesaikan. Berkata seorang sarjana Barat:"Jika Muhammad masih hidup, sudah tentu dia dapat menyelesaikan masalah di dunia sekarang ini dengan hanya menghirup teh".

Wallahu'alam

No comments:

Post a Comment